Wednesday, 3 September 2014

Posted by haslina On 23:43

En Shaari bin Osman
Pengarah
IPG Kampus Ilmu Khas


Penerbitan hasil kajian Dr Tan Ai Mei yang berjudul ‘Panduan Penerbitan Buku Akademik: Ilustrasi Perancangan dan Penulisan’  memang menepati masa dan dialu-alukan. Penulisan kajian  dan penerbitan  buku akademik di IPG Kampus Ilmu Khas kini menjadi budaya memandangkan semakin hari semakin ramai pensyarah yang menggembelingkan usaha secara individu mahupun secara kumpulan untuk berkecimpung dalam penulisan demi  perkongsian  keperihatinan dan kepakaran menerusi penerbitan.
Di sini, ingin saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Dr Tan Ai Mei bersama-sama rakan arktiteknya iaitu  En Chia Chiow Ming sebagai penyunting dan  Pn Haslina Bt Hassan sebagai teknokrat  inovatif yang telah merealisasikan perkongsian ilmu dalam panduan ini  secara berpendekatan elektronik yang bercirikan 3D. Penerbitan panduan ini secara pendekatan elektronik membekalkan kami warga di IPG satu penandaras (benchmark) mengenai penerbitan yang bercirikan TMK – inovasi dari segi perancangan, ilustrasi  dan penerbitan, lebih-lebih lagi  peranan kami di IPG  bukan sahaja sebagai pengamal ilmu lagi, tetapi juga selaku penjana dan penyebar ilmu yang boleh bersifat 3D juga.
Bagi saya, panduan penerbitan ini adalah eksplisit dari segi penerangan, dan secara hands-on.  Ilustrasi diberi bukan sahaja merangkumi panduan dari segi perancangan dalam Bahasa Inggeris, malah menerusi butang ‘klik’ sahaja pembaca akan memperoleh ilustrasi penulisan secara 3D dalam Bahasa Melayu. Selain itu,  ilustrasi yang diberi secara imej, grafik dan huruf merangkumi reka bentuk dan kandungan bagi bahagian kulit, sayap kulit termasuk bahagian awalan yang  termasuk halaman pendahuluan, nota-nota bagi penghargaan dan dedikasi. Contoh ilustrasi tentang perbezaan konsep antara senarai rujukan, bibliografi dan indeks juga disertakan. Tip-tip dalam bentuk teknik-teknik yang boleh diguna untuk merangsangkan pemahaman pembaca  juga diperjelaskan oleh Dr Tan dalam penerbitan panduan ini. Antaranya ialah sorotan kajian kes, nota tambahan, penggunaan jadual, rajah, grafik, serta penyoalan kepelbagaian yang merangsangkan.
Panduan ini juga memuatkan e-Buletin yang  diusahakan oleh Dr Tan dengan rakan-rakan  sejawatnya dari JIP pada tahun 2012. Satu langkah ke hadapan ialah e-Blog ini memuatkan juga pengenalan terhadap 5 buah buku akademik yang telah diterbitkan oleh Dr Tan pada peringkat dalam dan di luar Negara.  Yang sangat membanggakan kami warga IPGKIK ialah penerbitan Dr Tan, khususnya buku beliau yang berjudul ‘Malaysian Private Higher Education: Globalisation, Privatisation, Transformation and Market Places’ bukan sahaja diberi perakuan pada peringkat antara bangsa oleh Asean Akademik Press dan Amazon.com pada tahun 2002 sehingga kini, malah satu dekad selepas penerbitan buku berkenaan (iaitu pada tahun 2012) buku itu diterjemahkan oleh sarjana dari Universiti di China dan  diklasifikasikan menjadi antara buku rujukan utama terhadap kajian pendidikan tinggi di Rantau Asean. Sehubungan itu, Dr Tan berkongsikan pengalaman dan kepakaran beliau dalam pendidikan guru menerusi penerbitan buku yang berjudul ‘Panduan Kerja Kursus Ilmu Pendidikan: Contoh, Idea dan Aplikasi Teori’. Buku ini mencerminkan bagaimana idea dan teori-teori pendidikan yang pelbagai boleh digunakan dalam menjayakan pelbagai peranan yang dipertanggungjawabkan ke atas guru di sekolah. Penerbitan buku yang lain meliputi kupasan isu terhadap ‘Kesediaan guru di Malaysia dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah’ serta Isu ‘Beg Sekolah yang Berat’ yang dihadapi oleh murid di sekolah rendah aliran Cina di Malaysia. Penerbitan buku berkenaan merupakan penerbitan buku akademik memandangkan kupasan isu adalah berpandukan data empirikal, manakala pembentangan  konsep membabitkan perbincangan secara intelek yang berteraskan penggunaan sumber dan perspektif yang pelbagai. Malahan pandangan yang dikemukakan adalah berteraskan bukti dan analisis yang kritikal, serta perbincangan isu yang bernas dan rumusan yang bersifat sintesis yang menggalakkan renungan.
Sebagai Pengarah IPGKIK, saya amat bangga dengan usaha dan inovasi yang ditunjukkan oleh Dr Tan Ai Mei dengan ahli pasukannya. Penerbitan ini jelas menunjukkan kepakaran, keperihatinanan dan sumbangan Dr Tan dalam melonjatkan status IPG yang dapat disamatarafkan dengan IPTA yang lain dalam Negara. Lebih-lebih lagi penerbitan ini memberikan kita para pendidik  di IPG satu penanda aras dan perangsang untuk terus berusaha dan terus berinovatif melalui pendekatan elektronik. 

Akhirnya, seperti yang diberi penekanan dalam bahagian ‘Etika Penerbitan’ dalam panduan ini, ‘…. penulisan dan penerbitan buku akademik yang bermutu merentasi perbuatan sekadar penerangan konsep dan fakta.’ Ia memerlukan huraian terhadap fakta dan hubung kait antara ilmu yang memberi pembaca satu gambaran yang jelas terhadap skop penulisan yang difokuskan. Perbuatan seperti ‘cut and paste’ dan pembentangan konsep  yang bersifat ideological ‘bias’, iaitu bersifat melabel dan mengecam terhadap perspektif yang lain tanpa perbincangan yang bernas, mendalam dan menyeluruh seharusnya mempunyai batasan seperti perumpamaan yang berbunyi ‘Knowledge is power’ dan ‘A pen is mightier than a sword’.  Biarlah kita sama-sama menulis dan memperbanyakkan penerbitan secara inovatif dengan terakru kepada prinsip kesarjanaan dan etika penerbitan. Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan status IPG sebagai IPTA, tetapi status pensyarah sebagai penjana ilmu yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan dalam Negara.