Thursday 8 May 2014

Posted by haslina On 07:42
Lampiran 2: Illustrasi Penstrukturan Kandungan Secara Mendatar


BAB 2
Psikologi dalam Aplikasi:
Analisis Terhadap Pengalaman Pembelajaran yang Membabitkan
Perubahan Tingkah Laku

Bab ini membentangkan hasil kerja kursus, iaitu:
§  Analisis terhadap lapan pengalaman pembelajaran yang membabitkan perubahan tingkah
laku yang dialami oleh empat orang guru pelatih.

*      Kerja Kursus 1
·         Pengalaman pahit dan sikap fobia terhadap Matematik. (Lim)
·         Bapa borek anak rintik dalam kerjaya mengajar tuisyen. (Lim)

*      Kerja Kursus 2
·         Ketukan kepala oleh guru dan perkembangan potensi muzik dalam diri murid. (Puteri)
·         Perubahan tingkah laku melepak dalam diri seorang remaja. (Puteri)
·         Kesan asuhan autoritarian dan pendekatan humanis guru terhadap perubahan tingkah laku murid. (Puteri)

*      Kerja Kursus 3
·         Cikgu Sejarah humanis yang melazimkan emosi dan minat pelajar. (Rosninawati)
·         Kecerdasan kinestetik kea rah penyempurnaan kendiri. (Kamarul Zaman)
·         Kursus kejurulatihan yang menjayakan keyakinan dan kompetensi diri.
         (Kamarul Zaman)


Pembelajaran terdiri daripada tiga jenis, iaitu pembelajaran formal, pembelajaran informal, dan pembelajaran nonformal. Pembelajaran yang dilalui oleh seseorang akan meninggalkan kesan kepada psikologi manusia baik dalam bentuk emosi terpendam mahupun wujudnya motivasi intrinsik yang turut mengakibatkan perubahan dalam tingkah laku. Sejajar itu, hampir semua penulisan dalam bab ini menunjukkan bahawa pembelajaran yang dialami oleh setiap pelajar adalah berbeza. Pembelajaran tersebut bergantung kepada tahap perkembangan, tahap kesediaan, dan juga faktor personaliti dan kecerdasan pelbagai yang ada dalam milikan seseorang.

Bab ini mengandungi tiga hasil kursus yang mengisahkan lapan pengalaman pembelajaran yang telah dilalui oleh empat orang guru. Sejajar itu, guru-guru berkenaan membuat analisis  secara instropektif tentang impak pengalaman berkenaan terhadap perubahan tingkah laku yang dialami oleh mereka baik semasa di bangku sekolah mahupun di alam remaja atau meliputi implak tingkah laku mereka sebagai ibu bapa mahupun guru terhadap sikap  yang diamalkan oleh anak dan anak murid mereka.

Analisis Terhadap Pengalaman Pembelajaran yang Membabitkan Perubahan Tingkah Laku 
Kerja Kursus 1
Lim:    (i)   Pengalaman pahit dan sikap fobia terhadap Matematik.
          (ii)   Bapa borek anak rintik dalam kerjaya mengajar tuisyen.


1.0    Objektif tugasan
2.0    Pengenalan
3.0    Pembelajaran formal
         3.1    Isi pengalaman: pengalaman pahit dan sikap fobia terhadap Matematik
3.1.1    Latar belakang
3.1.2    Pengalaman pahit
3.1.3    Keadaan berubah
   3.2    Analisis pengalaman
3.2.  Aspek Luaran―Teori Behaviouris: Pelaziman Operan Skinnner dan Pelaziman Klasik Watson
3.2.2  Aspek Dalaman―Hierarki Keperluan Manusia Abraham Maslow (Pendekatan Humanis) dan Teori Psikoanalisis Sigmund Freud
   3.3    Rumusan
4.0    Pembelajaran informal
   4.1    Isi pengalaman: Bapa borek anak rintik dalam kerjaya mengajar tuisyen
4.1.1    Latar belakang
4.1.2    Pandai  berbahasa
         4.1.3    Masa depan
4.2    Analisis pengalaman
4.2.1  Aspek persekitaran―Teori Perkembangan Ekologi dan Teori Pembelajaran Sosial Bandura
               4.2.2  Aspek kecerdasan―Teori Pelbagai Kecerdasan Gardner dan Konsep Welsher
4.2.3  Aspek baka
4.3    Rumusan

1.0        Objektif Tugasan 

Melalui tugasan ini, pengalaman pembelajaran formal, informal, dan nonformal yang dialami oleh tiga individu yang berbeza akan diteliti dan diterangkan secara terperinci dari perspektif psikologi.

2.0        Pengenalan

Menurut Akinson et. al (1993), “Learning is a relatively permanent change in behavior that results from practice.” Ayat ini bermaksud, pembelajaran merupakan suatu proses perubahan tingkah laku yang berterusan melalui pengalaman atau latihan. Setiap insan pasti mengalaminya sejak dilahirkan hingga ke akhir hayat.

Pada keseluruhannya, pembelajaran boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:

(i)     Pembelajaran formal―Di Malaysia, pembelajaran formal ialah pendidikan yang diterima secara langsung dari institusi tertentu seperti sekolah, maktab, atau universiti berasaskan sukatan pelajaran atau kurikulum yang telah digubal oleh Kementerian Pelajaran dan dilembagakan. Pembelajaran formal menekankan pendidikan bidang kognitif, emosi, rohani, dan jasmani.

(ii)   Pembelajaran informalPembelajaran informal (tidak formal) merupakan perlakuan belajar yang terlaksana secara tidak langsung atau secara tidak sedar tanpa berasaskan sebarang sukatan pelajaran melalui pemerhatian, perbualan, dan pengalaman dari persekitaran. Contohnya, didikan dan asuhan ibu bapa di rumah dan pergaulan dengan kawan-kawan.

(iii) Pembelajaran nonformalPembelajaran nonformal ialah bentuk pembelajaran secara sampingan dan bertujuan menambah dan melengkapkan pembelajaran formal. Pembelajaran ini diadakan apabila wujud keperluan untuk mempertingkatkan kepakaran dalam bidang tertentu. Contohnya, penyertaan kursus, ceramah, forum, bengkel, dan sebagainya.
  

3.0    Pembelajaran Formal

3.1    Isi pengalaman 

3.1.1  Latar Belakang
      Saya seorang pelajar Tahun 6 K di SJK(C) Keat Hwa (S). Saya tidak meminati mata pelajaran Matematik. Hal ini kerana, saya selalu dimarahi dan didenda dua kali lebih daripada rakan saya oleh guru Matematik, iaitu ibu saya sendiri.


3.1.2     Pengalaman Pahit 
      Sejak kecil, saya benci akan subjek Matematik, jadi saya langsung tidak mahu belajar Matematik dengan bersungguh-sungguh dan tidak mahu membuat kerja rumah. Oleh kerana ibu saya menganggap saya seorang pelajar yang malas, beliau bertindak keras terhadap saya dengan menggunakan kaedah dendaan yakni segala dendaan yang dikenakan ke atas saya adalah dua kali ganda berbanding murid lain di kelas yang sama.

      Contohnya, apabila rakan sekelas lupa membuat kerja rumah, dia akan dirotan sekali manakala saya pula dikenakan rotan dua kali. Kadangkala saya dihalau dari bilik darjah kerana terlupa membawa buku ke sekolah manakala murid yang lain pula didenda berdiri di dalam bilik darjah sahaja. Hal ini menyebabkan saya berasa tidak berpuas hati lalu sengaja menggagalkan diri saya dalam mempelajari Matematik semata-mata untuk melepaskan geram dan menunjukkan bantahan terhadap tindakan ibu saya.

3.1.3    Keadaan Berubah 
      Disebabkan kegagalan itu, saya ditukarkan ke kelas 6 M. Di kelas itu, subjek Matematik diajar oleh Guru Besar. Kali ini, saya lebih rela untuk belajar Matematik berbanding di kelas sebelumnya kerana saya sangat menghormati Guru Besar yang merupakan seorang yang tegas tetapi adil. Pada waktu Matematik, saya dilayan sama rata dengan rakan-rakan sekelas saya. Walaupun saya masih didenda dan dihukum, saya amat menghormati Guru Besar. Untuk membuktikan kepada Guru Besar dan ibu saya bahawa saya bukanlah pelajar yang malas dan sambil lewa, saya membuat keputusan untuk belajar Matematik dengan bersungguh-sungguh walaupun saya masih benci akan subjek tersebut. Hasilnya, setelah keputusan UPSR diumumkan, saya mendapat A bagi subjek Matematik.

      Dalam peperiksaan SPM, saya mendapat keputusan 8A (termasuk Matematik dan Matematik Tambahan). Kemudian saya ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Actuarial Science. Akan tetapi, saya menolak tawaran tersebut dan membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran saya dalam bidang bahasa.

3.2    Analisis Pengalaman 
Pengalaman pembelajaran formal saya di sekolah boleh diteliti dari dua aspek berikut:
(a)          Aspek luaran.
(b)         Aspek dalaman.

3.2.1    Aspek Luaran 
      Aspek luaran akan diterangkan daripada dua jenis pendekatan Behaviouris, iaitu pelaziman operan dan pelaziman klasik.

      Melalui kenyataan di atas, jelas ternyata bahawa ibu saya mengamalkan sistem hukuman dan dendaan terhadap murid-muridnya. Hal ini menunjukkan di dalam kelas, beliau mengaplikasikan Teori Pembelajaran Behaviouris berlandaskan Teori Pelaziman Operan Skinner. Menurut Skinner (1953), dendaan merupakan sejenis peneguhan negatif dan dendaan yang biasa diamalkan oleh ibu saya ialah Dendaan Penyingkiran (Removal Punishment), iaitu dendaan yang melibatkan fizikal. Pada kebiasaannya, kebanyakan murid akan belajar Matematik dengan bersungguh-sungguh dan rajin membuat kerja rumah kerana takut didenda. Namun begitu, saya tidak berkelakuan sedemikian atas sebab-sebab berikut:

·         Dendaan yang diberi oleh ibu kepada saya tidak tekal, contohnya hukuman rotan yang berganda. Hukuman rotan yang berganda ini telah menghasilkan gangguan emosi kepada saya. Saya menganggap hukuman sebegini adalah tidak adil dan keterlaluan dan seterusnya membentuk tingkah laku yang negatif seperti sengaja menjadikan keputusan Matematik saya merosot.

·         Dendaan yang diberi oleh ibu kepada saya berdasarkan balasan perlakuan saya dan bukan berdasarkan kehendak untuk mengubah kelakuan. Hal ini dapat dijelaskan dengan contoh saya dihalau keluar dari kelas kerana terlupa membawa buku. Sebaliknya, jikalau dendaan yang diberi berdasarkan pengubahan kelakuan, ibu saya seharusnya mendenda saya berdiri di dalam kelas dan berkongsi buku dengan rakan. Dendaan akan menjadi tidak bermakna jika saya berada di luar kelas kerana saya tidak diberi peluang untuk belajar bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas.

Mengikut Teori Pendekatan Behaviouris John B. Watson (1878–1958) pula, emosi manusia juga boleh dilazimkan secara klasik. Dalam kes saya, emosi saya telah dilazimkan untuk mengelak dan menolak subjek Matematik kerana pengalaman saya yang pahit dan tidak menyenangkan semasa di sekolah rendah. Hal ini boleh diterangkan dengan jelas dengan penolakan saya terhadap tawaran mengikuti bidang Actuarial Science kerana pengajian ini mempunyai kaitan langsung dengan Matematik. Boleh dikatakan bahawa saya terpaksa belajar Matematik hingga tamat pengajian tingkatan lima, namun apabila diberi peluang untuk memilih, saya tetap membuat keputusan untuk meninggalkan Matematik.

3.2.2 Aspek Dalaman 
      Mengikut Hierarki Keperluan Manusia Abraham Maslow, hormat (esteim) merupakan satu keperluan dalam manusia. Keperluan inilah yang gagal didapati oleh saya di dalam kelas ibu yang mengajarkan Matematik. Hal ini kerana, saya merasakan ibu tidak memberi muka kepada saya dengan mendenda saya secara tidak adil di dalam kelas terutamanya di hadapan rakan-rakan sekelas. Tambahan pula, saya terasa maruah dijatuhkan apabila dihalau keluar dari bilik darjah. Kesemua perkara ini menyebabkan saya kehilangan minat untuk belajar Matematik lagi.

      Namun, tingkah laku saya berubah apabila ditukarkan ke kelas lain. Mengikut Teori Pendekatan Humanis, manusia terdorong bertindak melakukan sesuatu kerana mempunyai sesuatu kemahuan atau keperluan. Di bawah ajaran Guru Besar, saya mendapat keperluan, iaitu layanan yang adil. Jadi, saya terdorong untuk meningkatkan pencapaian saya dalam Matematik dan dalam konteks yang lain juga, memaksimumkan potensi saya.

      Satu lagi teori yang dapat menjelaskan tingkah laku saya ialah Teori Psikoanalisis Sigmund Freud. Freud percaya bahawa di dalam diri manusia terdapat tiga alam kesedaran, iaitu alam sedar, alam prasedar, dan alam tidak sedar. Salah satu sebab saya meningkatkan pencapaian saya dalam Matematik disebabkan oleh keinginan dan naluri dalaman. Secara tidak sedar, saya ingin membuktikan kepada ibu bahawa saya tetap akan mencapai keputusan yang bagus dalam Matematik tanpa dendaan gandaan daripada ibu. Oleh yang demikian, dalam kes ini, alam tidak sedar dalam diri telah mendorong perubahan tingkah laku saya.

3.3        Rumusan 

Rumusannya, kita boleh merumuskan bahawa pengalaman pembelajaran formal yang dilalui oleh saya di sekolah rendah telah meninggalkan kesan yang lebih negatif daripada positif dalam kehidupan saya. Namun, kita tidak dapat menafikan pengalaman ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam proses saya menentukan masa depan saya sendiri. Saya mungkin menyedari bidang Actuarial Science akan membolehkan saya untuk mendapat pekerjaan yang bergaji amat lumayan, tapi konflik berlaku apabila saya mendapati belajar Actuarial Science bermaksud belajar Matematik. Jadi, saya lebih rela untuk melepaskan peluang  keemasan ini. Rasional saya memilih bidang kesusasteraan amat mudah, iaitu saya tidak akan perlu belajar Matematik yang pasti akan mengingatkan saya mengenai seribu satu pengalaman yang pahit.

4.0    Pembelajaran Informal 

4.1    Isi Pengalaman 

4.1.1      Latar Belakang 
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang ibu bapa saya masing-masing bekerja sebagai guru bahasa di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pernyataan di bawah mengisahkan pengalaman pembelajaran saya dalam menjadi seorang guru dan pemilik pusat tuisyen yang berjaya.

4.1.2    Pandai  Berbahasa 
Selain mengajar di sekolah, ibu bapa saya turut menjalankan kelas tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di rumah untuk menambah rezeki keluarga. Setiap hari, ada pelajar yang datang ke rumah saya untuk menghadiri kelas tuisyen. Rumah saya seakan sebuah sekolah kecil. Oleh sebab ibu bapa saya selalu sibuk, saya banyak membantu mereka mengendalikan dan menguruskan hal tuisyen seperti mengutip yuran tuisyen, mengambil kedatangan murid, menjaga murid tuisyen, dan sebagainya.

Pada umur 13 tahun, saya diminta oleh ibu untuk menjaga kelas tuisyen sebentar kerana beliau hendak menjawab panggilan telefon yang penting. Apabila ibu pulang untuk meneruskan kelasnya, dia terkejut melihat saya sedang mengajar anak muridnya menulis karangan dengan amat baik menggunakan cara ibu. Disebabkan saya menunjukkan minat dalam pengajaran tuisyen serta mempunyai penguasaan yang tinggi dalam bahasa, saya mula diberi peluang untuk mengajar secara sambilan di bawah bimbingan ibu.
  
4.1.3    Masa Depan 
Apabila saya berumur 16 tahun, saya sudah berkemampuan untuk mengajar kelas tuisyen ibu dengan baik tanpa bimbingan ibu. Selepas tamat peperiksaan SPM, saya terus melanjutkan pelajaran ke institut perguruan. Kini, saya sudah menjadi seorang guru yang cemerlang dan memiliki tiga buah pusat tuisyen di sekitar bandar raya Alor Setar.          

4.2        Analisis 

Pengalaman pembelajaran informal saya boleh diteliti dari tiga aspek berikut:
(a)    Aspek persekitaran.
(b)   Aspek kecerdasan.
(c)    Aspek baka.


4.2.1    Aspek Persekitaran 
      Urie Bronfenbrenner (1917) dalam Teori Perkembangan Ekologinya menekankan bahawa pengaruh persekitaran memainkan peranan yang vital ke atas perkembangan organisma. Fokus utamanya ialah konteks sosial seseorang kanak-kanak membesar dan bersosialisasi memperlihatkan pengaruhinya terhadap perkembangan kanak-kanak tersebut.

Saya yang hidup dan membesar dalam sebuah keluarga pendidik telah memberikan impak yang amat ketara dalam kehidupan saya. Boleh dikatakan setiap hari saya terdedah kepada perkara yang berkaitan dengan tuisyen. Pendedahan ini telah menyebabkan saya menaruh minat terhadap hal-hal pengendalian dan pengurusan kelas tuisyen dan seterusnya melibatkan diri saya secara langsung dalam hal-hal tersebut.

      Hal ini demikian kerana, penglibatan saya dalam hal-hal tuisyen telah mempengaruhi perkembangan saya secara mendalam. Penglibatan saya yang bermula sejak kecil telah memberikan peluang kepada saya untuk menimba pengetahuan dan pengalaman yang banyak dalam bidang ini. Oleh yang demikian, pengetahuan dan pengalaman ini sudah menjadi satu asas yang kukuh bagi saya untuk menceburkan diri dalam bidang tuisyen selain turut mendorong saya untuk mengecapi kejayaan yang tinggi dalam kerjaya tuisyen.

      Satu lagi Teori Psikologi yang dapat diperhatikan daripada pengalaman pembelajaran informal saya ialah Teori Pembelajaran Sosial Bandura (1977). Teori Pembelajaran ini menekankan peranan kognitif dan juga persekitaran dalam mempengaruhi perkembangan. Dalam teori ini, dijelaskan bahawa kebanyakan kelakuan manusia dipelajari melalui proses peniruan terhadap model.

      Menurut Bandura, proses peniruan merangkumi empat langkah, iaitu pemerhatian, penyimpanan, mengingat, dan motivasi. Dalam kes ini, model peniruan saya yang paling utama ialah ibu saya. Di rumah, saya sentiasa berpeluang memerhatikan ibu mengajar kelas tuisyen. Melalui pemerhatian, secara tidak langsung saya belajar cara mengajar kelas tuisyen daripada ibu. Jadi, cara-cara tersebut akan disimpan di dalam ingatan saya. Setelah proses penyimpanan, saya mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan apa jua yang disimpan di dalam ingatan dan mengaplikasikannya dalam situasi baharu. Hal ini boleh dijelaskan dengan kebolehan saya mengajar kelas tuisyen dengan baik semasa ketiadaan ibu. Seterusnya, peneguhan positif atau galakan daripada ibu memotivasikan saya untuk meneruskan dan mengekalkan tingkah laku tersebut sehingga dia dewasa.

4.2.2    Aspek Kecerdasan 
Berpandukan Teori Pelbagai Kecerdasan Gardner (1983), Kecerdasan Bahasa–Linguistik merangkumi pembacaan, penulisan, dan perbualan dalam bahasa sendiri atau bahasa asing. Kecerdasan ini juga tidak hanya berkisar kepada menghasilkan bahan bahasa, tetapi juga perbezaan, susunan, dan rima perkataan.

Melalui penyataan di atas, boleh didapati bahawa saya mempunyai kecerdasan bahasa–linguistik yang amat tinggi. Maka, saya menunjukkan kecerdasan yang tinggi dalam penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Hal ini dapat dibuktikan melalui kebolehan saya mengajar anak murid menulis karangan dengan baik tanpa bimbingan ibu saya pada usia yang muda.

Welsher (1975) turut berpendapat bahawa kecerdasan ialah kebolehan seseorang individu memahami alam sekitarnya, dirinya, dan kepakaran yang dimilikinya untuk membantunya menghadapi cabaran hidup. Walaupun sebelum berumur 13 tahun, saya tidak pernah diajar oleh ibu untuk mengajar kelas tuisyen, namun dengan memerhatikan persekitaran, saya dapat memahami kebolehan dan kepakaran saya. Hal ini mendorong saya untuk mencuba kebolehan saya dalam mengajar tuisyen semasa ketiadaan ibu.

4.2.3    Aspek Baka 
Setiap orang mewarisi sifat tertentu melalui pewarisan gen atau baka daripada kedua-dua ibu bapanya. Howard Gardner et al. (1996) menyatakan bahawa kecerdasan yang diwarisi boleh dipertingkatkan melalui pembelajaran. Baka menentukan had perkembangan, manakala persekitaran akan menolong perkembangan mencapai tahap yang maksimum.

Dalam kes ini, saya mewarisi kecerdasan, kebolehan, sifat, dan minat kedua-dua ibu bapa saya. Di bawah persekitaran yang kondusif dan juga tunjuk ajar daripada ibu, saya berpeluang untuk mempertingkatkan perkembangan potensi saya ke tahap yang maksimum.

4.3        Rumusan 

Rumusannya, kita boleh merumuskan bahawa pengalaman pembelajaran informal yang dilalui oleh saya di rumah telah meninggalkan kesan yang amat positif dalam kehidupan saya, terutamanya dalam kerjaya pemilikan pusat tuisyen. Walaupun saya mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, kecerdasan dan kebolehan, tetapi jika tanpa persekitaran yang kondusif, ketekunan dan kesungguhan diri sendiri, saya mungkin tidak akan mengembangkan potensi saya dan mencapai kejayaan sekarang.

Rujukan 

Atkinson R. L., Atkinson R. C., Smith E. E., & Bem D. J. (1993).  Introduction to Psychology. Edisi Ke-11. Fort Worth TX: Harcourt Brace Jovanovich.







Kelly, K. (1996). The Logic of Reliable Inquiry. Oxford, Oxford University Press.

Stanford Encyclopedia of Philosophy (2002). Formal Learning Theory, Entry by Oliver

Schulte, O. (1999). “Means-Ends Epistemology”dlm. The British Journal for the Philosophy of Science, 50. hlm. 1–31.

Victorian Qualifications Authority (VQA) (2004). Learning Australia: Report On The
Recognition of Informal Learning, January, www.vqa.vic.gov.au/vqa/pdfs/rport Recgnitn_of_informlearning.pdf. Dikemaskinikan pada 14 October, 2004

Wan Zah Wan Ali, Ramlah Hamzah & Rosini Abu (2009). Psikologi Pendidikan. Seri Kembangan, Selangor: Meteor Doc..


1.0  Pengenalan
2.0    Catatan pengalaman yang membabitkan pembelajaran
2.1    Situasi pertama: Ketukan kepala oleh guru dan perkembangan potensi muzik
         dalam diri murid
2.1.1       Kaitan pengalaman dengan perspektif psikologi peneguh positif; peneguh negatif; kecerdasan muzik                   
2.2    Situasi kedua: Perubahan tingkah laku  memberontak dalam seorang remaja
           2.2.1     Kaitan pengalaman dengan perspektif psikologi
Teori Pembelajaran Sosial Bandura; Model Deterministik Timbal Balik; Teori Psikoanalisis Sigmund Freud
2.3    Situasi ketiga: Kesan asuhan autoritarian dan pendekatan humanis guru terhadap perubahan tingkah laku murid
         2.3.1       Kaitan pengalaman dengan perspektif psikologi
            Teori Humanis; empat bentuk asuhan keluarga
3.0  Rumusan


1.0        Pengenalan 

Psikologi didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang tingkah laku manusia dan haiwan serta proses mental organisma. Psikologi berasal daripada perkataan Greek Purba, iaitu psyche bermaksud ‘jiwa’ dan ‘logo’ bermaksud kajian tentang sesuatu. Tiga idea penting dalam definisi ini ialah saintifik, tingkah laku, dan proses mental. Manakala merujuk kepada Kamus Dewan pula, psikologi didefinisikan sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran, berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan, pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu, dan kebijaksanaan memahami sifat manusia.

Seperti bidang sains yang lain, psikologi berasal daripada sebahagian falsafah. Psikologi yang dikaji secara saintifik bermula pada akhir abad ke-19. Psikologi pada awalnya bermaksud mengkaji dan memahami cara manusia atau organisasi mengetahui  atau belajar. Oleh itu, tujuan psikologi adalah mengkaji bagaimana manusia membuat perkaitan antara perkataan atau idea.

      Dalam tugasan yang ini, psikologi berdasarkan pengalaman masa lampau yang saya alami  dari zaman kanak-kanak hingga alam berumahtangga dan kaitan pengalaman yang  dialami dengan perspektif psikologi. Dalam penerangan ini, terdapat Pendekatan Psikososial Erikson, Pendekatan Humanis, Teori Pembelajaran Bandura, dan perbezaan individu .

2.0    Catatan Pengalaman 

2.1    Situasi Pertama 

Saya merupakan murid Tahun Tiga di Sek. Keb. Taman Permata Gombak. Saya seorang murid yang periang dan mudah mesra. Saya amat disenangi oleh semua rakan-rakan saya. Saya juga merupakan seorang murid yang aktif dan sering menyertai perkhemahan dan pertandingan yang dianjurkan oleh sekolah.

Walau bagaimanapun, saya tidak meminati salah seorang guru, iaitu Encik Azhar yang mengajarkan Pendidikan Muzik. Hal ini kerana Encik Azhar merupakan seorang yang amat garang dan sering mendenda rakan sekelas saya.

Saya pernah dimarahi oleh guru tersebut disebabkan gagal meniup rekoder mengikut not yang betul. Encik Azhar telah mengetuk kepala saya dengan kuat. Disebabkan kejadian itu, saya bertekad untuk memperbaiki cara meniup rekoder dengan betul  walaupun saya tetap tidak menyukai guru tersebut.

Hasilnya, saya amat cekap bermain rekoder malah saya mampu bermain peralatan muzik yang lain dengan cekap seperti keyboard dan drum. Peristiwa paling membanggakan apabila saya telah terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan pancaragam hingga ke peringkat negeri.
        

2.1.1    Kaitan Pengalaman dengan Perspektif Psikologi 
      Berdasarkan situasi pertama, saya mengikuti pembelajaran formal yang dilaksanakan di dalam kelas Pendidikan Muzik oleh Encik Azhar. Pembelajaran formal ialah pembelajaran secara langsung melibatkan guru-guru yang terlatih dan melibatkan kurikulum yang telah digubal oleh Kementerian Pendidikan. Pembelajaran juga berlaku di dalam bangunan yang siap prasarananya seperti bilik darjah, kerusi, meja, dan lain-lain.

      Kajian mendapati perubahan tingkah laku yang saya alami ialah daripada murid yang lemah dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik kepada murid yang paling berpotensi. Hal ini boleh dikaitkan dengan Teori Pelaziman Operan. Menurut Skinner (1953), dalam Teori Pelaziman Operan gerak balas individu boleh diperkuat (diulangi) atau dihapuskan (tidak diulangi), jika diberikan peneguhan sebaik sahaja gerak balas ditunjukkan. Terdapat dua bentuk peneguhan, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan yang berkait rapat dengan perubahan tingkah laku saya pada waktu itu ialah peneguhan negatif.

      Peneguhan negatif ialah rangsangan serta merta yang tidak selesa atau menyakiti yang diberikan selepas sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Contohnya, Encik Azhar mengetuk kepala saya kerana tidak pandai meniup rekoder dengan baik merupakan peneguhan negatif. Bagi mengelakkan perasaan takut kepada  kesakitan yang akan berulang, maka saya bergerak balas memperbaiki cara meniup rekoder dengan baik. Dengan ini, secara langsung dapat mengelak daripada rangsangan yang tidak diingini, iaitu ketukan Encik Azhar. Jadual di bawah menunjukkan proses yang berlaku melalui Teori Pelaziman Skinner.


Tingkah Laku
Kesan/Aktiviti
Tingkah Laku Masa Hadapan
Gagal meniup rekoder dengan betul.
Encik Azhar telah mengetuk kepala Salihah.
Saya bertekad untuk memperbaiki cara meniup rekoder dengan betul.

Jadual 2.1 Peneguhan Negatif

Hasil daripada rangsangan ini turut menyumbang kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran saya, iaitu dari aspek kecerdasan. Menurut Piaget (1950), kecerdasan ialah kebolehan individu berfikir atau menaakul dalam usahanya menyesuaikan diri dengan persekitaran. Saya telah membuktikan bahawa saya memiliki kecerdasan muzik apabila saya amat peka kepada nada, rentak, dan bunyi. Kebolehan ini menjadikan saya pemain pancaragam yang amat berbakat di sekolah kerana mampu memainkan pelbagai jenis alatan muzik.

Selain Teori Pelaziman Operan ini, perubahan tingkah laku yang saya alami boleh dikaitkan dengan Pendekatan Teori Humanis. Menurut Roger, teori ini menumpukan kepada manusia sebagai insan yang baik, murni, dan sentiasa berusaha ke arah menyempurnakan kendiri, iaitu mengembangkan potensi dalam diri. Oleh yang demikian, semua tingkah laku saya dalam situasi ini turut didorong oleh pencapaian kesempurnaan kendiri.

2.2        Situasi Kedua 

Saya kini menjejaki alam remaja, iaitu pada usia 13 tahun. Saya mula mencari identiti diri dengan memerhatikan identiti yang manakah dirasakan amat menarik dan sesuai dengan diri saya. Pada mulanya saya bergaul dengan kumpulan yang agak sosial dan sering melepak di pasar raya. Tetapi lama-kelamaan saya sendiri merasakan kelakuan sedemikian  bertentangan dengan nilai yang telah diterapkan oleh ahli keluarga saya.

Bimbang perkara yang lebih teruk akan berlaku, ibu bapa saya telah menghantar saya ke sekolah berasrama. Di sini saya bertemu dengan Aida. Aida merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolah tersebut. Aida juga amat disenangi oleh guru dan rakan-rakannya kerana sikapnya yang merendah diri, mudah mesra, dan mengambil berat tentang orang lain.

Sikap Aida yang berhemah tinggi ini berjaya mencuri perhatian saya dan saya merasakan inilah personaliti yang selama ini ingin dimiliki. Oleh yang demikian, saya mencuba mendekati Aida dan akhirnya kami berdua menjadi rakan karib dan berjaya dengan cemerlang di sekolah berkenaan.

2.2.1    Kaitan Pengalaman dengan Perspektif Psikologi 
Situasi kedua melibatkan saya dalam pembelajaran informal. Pembelajaran informal merupakan perlakuan belajar yang terlaksana secara tidak langsung, iaitu tanpa asuhan dan sukatan pelajaran. Pembelajaran informal turut berlaku secara tidak sedar pada diri saya, iaitu dari persekitaran melalui pemerhatian, perbualan, dan pengalaman dan pembelajaran itu merupakan pembelajaran yang berterusan dan berlaku sepanjang hayat.

Tindakan segera ibu bapa memasukkan saya ke sekolah berasrama merupakan tindakan yang terbaik bagi mengawal tingkah laku yang tidak diingini. Di asrama, saya berkenalan dengan Aida yang amat  menepati ciri-ciri yang disenangi oleh saya. Bagi saya, Aida merupakan rol model yang dikagumi dan dicontohi kerana bertepatan dengan keperluan sempurna kendiri. Situasi ini boleh dikaitkan dengan Teori Pembelajaran Sosial Bandura. Teori Pembelajaran Sosial Bandura mengatakan kebanyakan kelakuan manusia dipelajari melalui pemerhatian terhadap permodelan. Dalam situasi ini, saya  melalui proses untuk meniru tingkah laku Aida berdasarkan empat langkah, iaitu memberikan tumpuan, menyimpan dalam ingatan, mengingati kembali, dan motivasi yang secukupnya untuk menghasilkan tingkah laku yang tertentu. Melalui teori ini juga, perubahan tingkah laku boleh dikaitkan dengan Model Determinisme Timbal Balik  seperti yang terdapat dalam Rajah 2.1.

Sebelum saya berkenalan dengan Aida, perlakuan saya agak negatif dan terpesong daripada penerapan nilai oleh keluarga saya. Perlakuan ini didorong oleh persekitaran, iaitu rakan sebaya yang mempunyai tingkah laku yang suka melepak tetapi saya merasakan situasi ini amat bertentangan dengan faktor kognitif yakni bertentangan dengan pegangan nilai yang diterapkan oleh keluarga selama ini. Apabila  menjejakkan kaki ke sekolah berasrama, perubahan persekitaran berlaku. Pertemuan saya dengan Aida telah mengubah tingkah laku yang bersesuaian dengan norma dan nilai yang afektif, iaitu merendah diri, berketerampilan, berkebolehan dan mudah mesra. Oleh yang demikian, saya telah berjaya mengikuti gaya tingkah laku Aida dan menjadi rakan baik Aida seterusnya menjadi pelajar yang cemerlang di sekolah berkenaan.

Menurut Teori Psikoanalisis Sigmund Freud, manusia dengan desakan naluri  semula jadi yang boleh merosakkan diri manusia sebagai individu dan tidak dapat menentukan arah tujuan kehidupannya. Situasi inilah yang terjadi terhadap perubahan tingkah laku  saya ketika usia remaja dalam lingkungan usia 13–18 tahun. Seterusnya Freud percaya bahawa perkembangan personaliti manusia turut dipengaruhi oleh tiga elemen Id, iaitu Id, Ego dan Superego. Dalam situasi ini, saya berada pada tahap Id, iaitu lebih mementingkan keseronokan  dan merupakan satu gejala bawah sedar dan penuh dengan orientasi yang berkehendakkan kepuasan. Disebabkan faktor ini, saya suka bergaul dengan rakan yang suka melepak. Saya cuba menarik perhatian mereka dengan meniru perlakuan negatif mereka semata-mata kerana faktor penemanan yang memenuhi keperluan sebagai seorang remaja.  Tahap Ego merupakan satu elemen pada tahap sedar yang penuh dengan persepsi yang inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan. Oleh yang demikian berlaku konflik dalaman dalam diri saya, iaitu berlaku kekeliruan sama ada untuk mengikuti tingkah laku yang negatif itu ataupun mengikut nilai yang sedia ada pada dirinya. Disebabkan untuk mencapai penyempurnaan kendiri, saya cuba mengawal diri dan memilih untuk mengubah tingkah laku negatif kepada positif mengikut pegangan nilai yang telah diterapkan oleh  keluarga saya. Hal ini bertepatan dengan tahap Superego dalam pemikiran tingkah laku psikoanalisis.

Selain itu, perubahan tingkah laku saya boleh juga dikaitkan dengan Teori  Perkembangan Humanis yang dipelopori oleh Abraham Maslow (1968). Menurut beliau, keperluan fisiologi, keperluan kasih sayang dan harga diri disebut keperluan kekurangan (deficiency needs) kerana manusia akan bertindak untuk mencapainya sekiranya berkurangan. Setelah keperluan dipenuhi, barulah manusia akan bermotivasi  untuk memenuhi keperluan kewujudan, iaitu ke arah untuk menyempurnaan kendiri, keperluan mengetahui dan estetik. Bagi saya, setelah keperluan kasih sayang (ibu bapa), fisilogi, penghargaan dipenuhi maka saya berusaha untuk mencapai sempurna kendiri dengan menjadi individu yang berketerampilan dan berbakti kepada ibu bapa, guru, dan masyarakat amnya. (Sila lihat Rajah 2.2)



2.2        Situasi Tiga 

Kini saya sudah berumahtangga dengan seorang Pegawai Polis berjawatan tinggi. Kami dikurniai seorang anak lelaki yang kini berumur 13 tahun bernama Hambali. Hambali merupakan seorang anak yang amat bijak.

Dalam mendidik anak, saya dan suami amat tegas dan selalu menggunakan dendaan dan hukuman untuk membentuk disiplin anak kami. Disebabkan urusan kerja, perbualan antara saya, suami, dan anak turut terbatas. Oleh yang demikian, Hambali menjadi seorang yang agak pendiam dan pasif. Dia tidak mahu menonjolkan diri dalam apa jua aktiviti di sekolah mahupun di dalam kelas. Hambali juga kurang keyakinan diri dan sering dilihat berseorangan.

Namun Hambali amat bertuah kerana di sekolah, guru kelasnya, iaitu Puan Fatimah sering memberikan perhatian dan penghargaan kepada Hambali. Sikap Puan Fatimah yang sangat mengambil berat terhadap perkembangan prestasi Hambali dan sentiasa memberikan Hambali peluang menonjolkan diri di dalam kelas sedikit sebanyak telah menimbulkan satu keazaman dan keberanian kepada diri Hambali bagi mendapatkan lebih perhatian dan kasih sayang daripada Puan Fatimah. Hasilnya Hambali menjadi murid yang amat disenangi oleh semua guru dan menjadi ketua pengawas ketika Hambali berada di tingkatan lima di sekolah berkenaan. Secara tidak langsung, tingkah laku Hambali turut disenangi oleh kami berdua. Dendaan dan hukuman daripada kami sebagai ibu bapa mulai berkurangan kerana keinginan membentuk Hambali menjadi manusia yang berguna kian tercapai. 

2.3.1 Kaitan Pengalaman dengan Perspektif Psikologi   

Situasi yang ketiga ini lebih berfokuskan anak saya, iaitu Hambali. Tingkah laku Hambali jelas dipengaruhi oleh cara asuhan ibu bapa yang mengakibatkan Hambali berbeza daripada  individu yang lain. Menurut Baumrind (dalam Santrock 2001), terdapat empat bentuk asuhan keluarga, iaitu autoritarian, autoritatif, abaikan, dan indulgent. Huraian lebih lanjut terdapat dalam Rajah 2.3 di bawah.



Hasil kajian mendapati tingkah laku Hambali  yang pasif dan suka bersendirian terhasil daripada didikan ibu bapa yang autoritarian. Saya dan suami sering mengenakan hukuman dan dendaan kepada Hambali agar dia mematuhi dan menghormati peraturan di dalam rumah kami. Selain itu, kesibukan kerja telah menghalang komunikasi antara kami dan menjadikan Hambali seorang yang tidak pandai  bersosial dan gagal menunjukkan inisiatif dalam aktiviti di sekolahnya.

Namun begitu, tindakan guru kelasnya Puan Fatimah yang peka dengan sikap Hambali mengubah  tingkah laku Hambali kepada individu yang lebih berkeyakinan tinggi dan bermotivasi. Hal ini boleh dikaitkan dengan Pendekatan Humanis. Pendekatan Abraham Maslow ini berpendapat bahawa manusia ialah individu bebas dan baik dengan potensi untuk berkembang dan mempunyai sasaran untuk dicapai. Mengikut pendekatan ini, manusia sentiasa aktif dan bukan menunggu untuk dirancang oleh orang lain.

Melalui pendekatan ini, Puan Fatimah memberikan perhatian kepada murid yang mundur seperti Hambali dan berpendapat Hambali perlu diberi perhatian dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan dalam Hierarki Kehendak Manusia Maslow, iaitu manusia tidak pernah berasa puas dengan apa jua yang telah dicapainya dan sentiasa mahu terus ke hadapan. Puan Fatimah sanggup melayan Hambali dan bergaul dengan mesra serta menjadikan Hambali itu sebagai individu dengan sabar. Apabila hal ini berlaku, maka Hambali akan mempunyai hasrat untuk belajar seterusnya dapat meneroka dan mencipta. Secara tidak langsung dapat meningkatkan minat Hambali untuk belajar dengan baik.

Pendekatan Humanis ini menitikberatkan perkembangan secara bebas dan bertujuan untuk membantu menangani tekanan keluarga dan masyarakat. Cara ini menyebabkan pembelajaran menjadi lebih bermakna dan berupaya menggembirakan Hambali.

      Hasil rangsangan daripada Puan Fatimah menunjukkan Hambali mampu bertindak sendiri untuk menguasai  pembelajaran tanpa memerlukan arahan daripada guru atau ibu bapa tetapi ia bergerak dengan sendirinya. Melalui tingkah laku yang ditunjukkan Hambali jelas, Hambali  mendapat kepuasan sendiri dan hasil yang akan diperoleh daripada tingkah laku itu akan menyeronokkan beliau  dan akan mendatangkan satu kepuasan yang maksimum.

3.0    Rumusan 

Rumusan yang diperoleh daripada tugasan di atas ialah dalam proses pembelajaran berlaku secara langsung mahupun tidak langsung, iaitu secara formal, informal, dan nonformal. Ketiga-tiga gaya pembelajaran ini mampu mengubah tingkah laku seseorang individu seterusnya memiliki ciri individu mengikut penyempurnaan kendiri.

 Dalam seluruh kehidupan kita juga pasti banyak pengalaman yang boleh mempengaruhi psikologi kita dan tanpa kita sedari segala perubahan tersebut telah dikemukakan oleh pakar-pakar dan ahli-ahli psikologi. Setiap pendekatan psikologi mempunyai kelebihan dan kelemahan, namun setiap pendekatan ini banyak memberikan sumbangan kepada penyelidikan dan kajian yang menuju ke arah kemajuan tingkah laku manusia. Setelah diteliti dan difahami teori-teori oleh ahli psikologi seperti F. B Skinner, E. L Thorndike, Sigmund Freud, Ivan Pavlov, Carl Rogers dan ramai lagi maka dapatlah kita lahirkan satu pendekatan yang bersepadu dengan menggabungkan teori-teori tersebut. 

Daripada ketiga-tiga situasi tersebut, jelas menunjukkan bahawa amalan tingkah laku manusia banyak dipengaruhi oleh rangsangan dalam persekitaran yang turut mempengaruhi perubahan tingkah laku seterusnya menjadi ciri personaliti bagi individu. Jadi sebagai seorang guru, kita  perlu memahami dan mendalami ilmu psikologi dalam pendidikan. Hal ini penting untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Oleh itu, guru perlu mengenali personaliti muridnya terlebih dahulu agar ia boleh disesuaikan dengan kaedah dan objektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta kebolehan dan tahap perkembangan mereka.



Rujukan 

Bates, M. (1970). Manusia dan Alamnya Terjemahan DBP. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ee Ah Meng (1996). Psikologi Pendidikan 1: Psikologi Perkembangan (Semester 1). Kuala Lumpur: Fajar Bakti.


Mahmood Nazaar Mohamed (1990). Pengantar Psikologi Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Salleh Lebar (1994). Asas Psikologi Perkembangan, Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Prof. Madya Dr. Wan Zah Wan Ali, Prof. Madya Dr. Ramlan Hamzah & Dr. Rosini Abu (2009). BEF2103 Psikologi Pendidikan. Meteor Doc. .

Sharifah Alwiah Alsagoff (1987). Psikologi Pendidikan 1. Longman Malaysia.



1.0    Pengenalan                                                                                                             
2.0    Pengalaman pembelajaran pertama  (pembelajaran formal)
Cikgu Sejarah humanis yang melazimkan emosi dan minat pelajar 
2.1    Analisis pengalaman pembelajaran   
                     Teori Pelaziman Pavlov; Teori Operan Skinner; Hukum Pembelajaran Thorndike                                          
3.0       Pengalaman pembelajaran kedua (pembelajaran informal)   
            Kecerdasan kinestetik ke arah  penyempurnaan kendiri
3.1    Analisis pengalaman pembelajaran kedua   
         Teori Pembelajaran Sosial, Teori Kecerdasan  Pelbagai Gardner
4.0    Pengalaman pembelajaran ketiga (pembelajaran nonformal)                     
Kursus kejurulatihan yang  menjayakan keyakinan dan kompetensi guru
4.1    Analisis cerita pengalaman pembelajaran ketiga   
                     Teori Pembelajaran Konstruktivis,  Konsep Personaliti
5.0.   Penutup

1.0.      Pengenalan 

Tugasan ini mengenai pengalaman pembelajaran. Pengalaman tersebut berdasarkan pembelajaran formal, pembelajaran informal dan pembelajaran nonformal. Setiap pengalaman tersebut dikaitkan aspek psikologi, iaitu berkaitan dengan Teori-teori Pembelajaran, aspek kecerdasan, dan aspek personaliti.

Pembelajaran formal ialah pendidikan yang diterima secara langsung dari institusi tertentu seperti sekolah, maktab, atau universiti. Pembelajaran formal juga merupakan pembelajaran yang berasaskan sukatan atau kurikulum yang telah ditetapkan. Di samping itu, pembelajaran formal dilaksanakan oleh guru-guru yang terlatih dan bertauliah. Pembelajaran formal melibatkan penilaian pada setiap tahap yang dilalui dalam bentuk formatif, sumatif, dan peperiksaan awam.

Pembelajaran informal (tidak formal) merupakan perlakuan belajar yang terlaksana secara tidak langsung atau tidak sedar. Pelajar mendapat pengetahuan daripada didikan dan asuhan ibu bapa di rumah, pergaulan dengan rakan-rakan, menonton televisyen, mendengar radio, dan sebagainya. Pembelajaran informal tidak mempunyai sebarang sukatan pelajaran. Semua pengetahuan dan kemahiran didapati dan dikuasai melalui pengalaman yang diperoleh secara tidak langsung. Pembelajaran informal tidak memerlukan guru terlatih atau pakar serta tidak melibatkan sebarang penilaian.

Pembelajaran nonformal pula berbentuk pembelajaran yang berlaku secara sampingan dan bertujuan  menambah dan melengkapkan pembelajaran formal. Biasanya pembelajaran seperti ini juga memerlukan perancangan secara teliti. Pembelajaran nonformal juga dilakukan oleh pendidik dan pakar-pakar tertentu. Antara contoh pembelajaran ini adalah melalui kursus pendek, ceramah, forum, bengkel, dan sebagainya. Kandungan kursus biasanya lebih mendalam dan berkaitan dengan kandungan pembelajaran formal.

2.0.      Pengalaman Pembelajaran Pertama (Pembelajaran Formal) [B]

Semasa saya belajar di sekolah menengah, iaitu di Tingkatan 1, saya memang kurang meminati mata pelajaran Sejarah. Pada pendapat saya, amat susah untuk memahami isi penting yang terdapat dalam mata pelajaran tersebut. Apabila guru mata pelajaran Sejarah  masuk ke kelas, saya berasa amat bosan kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna. Saya  tidak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran tersebut. Saya pernah didenda dan dimarahi kerana tidak dapat menjawab soalan dan tidak menyiapkan latihan kerja rumah. Hal ini membuatkan saya semakin tidak menyukai mata pelajaran Sejarah. Akibatnya, keputusan peperiksaan saya bagi mata pelajaran Sejarah amat teruk, iaitu gred D. Saya begitu kecewa dengan pencapaian tersebut. Perasaan risau bermain di fikiran saya kerana pada tahun pertama saya berada di sekolah menengah pun, saya mencapai keputusan yang rendah bagi mata pelajaran Sejarah, mungkin tahun yang berikutnya keputusan yang lebih teruk lagi akan saya peroleh.

Namun, semasa saya berada di Tingkatan 2, sikap terhadap mata pelajaran Sejarah mula berubah. Saya mula meminati mata pelajaran Sejarah. Hal ini disebabkan oleh Cikgu Zulkifli yang mengajar saya mata pelajaran tersebut. Cikgu Zulkifli sangat prihatin terhadap setiap pelajar. Beliau mengajar dengan begitu bersungguh-sungguh. Jika terdapat perkara yang kurang difahami, beliau akan menerangkannya semula sehingga pelajar memahaminya. Pendekatan yang digunakan oleh beliau semasa mengajar mudah difahami.

Selain itu, sikap peramah dan mesra  yang ada pada Cikgu Zulkifli juga membuatkan saya berasa selesa untuk berkomunikasi dengannya. Beliau juga selalu memberikan nasihat kepada saya dan rakan-rakan supaya sentiasa rajin dalam pelajaran. Beliau juga turut memberikan motivasi kepada saya dan rakan-rakan supaya lebih berkeyakinan untuk menghadapi peperiksaan. Semasa mengajar, Cikgu Zulkifli pandai menarik minat pelajar melalui unsur jenaka atau kecindan yang ada padanya.

Selain itu, Cikgu Zulkifli banyak menggunakan teknik soal jawab. Apabila beliau bertanyakan soalan kepada pelajar dan pelajar tersebut dapat menjawabnya dengan betul, maka beliau akan berkata ‘bagus kepada pelajar tersebut. Cikgu Zulkifli juga suka mengadakan kuiz selepas tamat bab yang diajarkan. Beliau berbuat demikian untuk mengukuhkan lagi pemahaman pelajar tentang tajuk yang telah dipelajari. Kumpulan yang mendapat markah tertinggi akan diberikan hadiah. Apa yang menarik, kumpulan saya ialah kumpulan yang paling banyak memenangi kuiz yang diadakan itu. Selain itu, selepas sesuatu ujian dijalankan, Cikgu Zulkifli juga akan memberikan hadiah kepada pelajar yang mendapat markah yang tertinggi. 

Cikgu Zulkifli juga akan mendenda pelajar yang memberikan jawapan yang salah setiap kali latihan atau ujian. Dendaannya ialah membuat pembetulan dengan menulis atau menyalin sebanyak lima kali jawapan bagi setiap kesalahan yang dibuat. Hal ini membuatkan saya dan rakan-rakan berusaha  untuk menjawab soalan dengan betul  pada setiap kali latihan dan ujian bagi mengelak daripada didenda.

Perkara yang paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila Folio Sejarah saya dipilih antara yang tertinggi semasa di Tingkatan 2. Folio saya juga dipamerkan di perpustakaan sekolah untuk rujukan pelajar-pelajar lain. Saya amat gembira dengan keputusan tersebut. Situasi ini membuatkan saya terus meminati mata pelajaran Sejarah. Hasilnya, saya berjaya memperoleh gred A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mata pelajaran Sejarah. Saya mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Zulkifli kerana mengajar dan membimbing saya  sehingga mencapai kejayaan.



2.1.  Analisis Cerita dari Perspektif Psikologi

Berdasarkan situasi yang saya alami, pengalaman pembelajaran boleh diteliti dari aspek Teori Pembelajaran Behaviouris dan Pendekatan Humanis.

2.2.        Teori Pembelajaran Behaviouris  



2.2.1 Teori Pelaziman Klasik Pavlov 
      Mengikut teorinya, setiap rangsangan menimbulkan gerak balas. Pavlov mengatakan bahawa pembelajaran berlaku akibat daripada kaitan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu  rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran. Pembelajaran yang berlaku kerana perkaitan antara dua rangsangan dinamakan pelaziman.

      Berdasarkan cerita, cara Cikgu Zulkifli mengajarkan mata pelajaran Sejarah adalah menarik, maka saya akan memberikan perhatian di dalam bilik darjah. Rangsangan yang pertama ialah sikap Cikgu Zulkifli  dan rangsangan yang kedua ialah cara mengajar yang menarik. Oleh kerana perkaitan antara dua rangsangan ini adalah positif, pembelajaran atau gerak balas positif berlaku (saya akan memberikan perhatian). Tingkah laku memberikan perhatian ini akan dilazimkan, iaitu saya akan terus memberikan perhatian apabila Cikgu Zulkifli mengajar Sejarah.

Pembelajaran berkesan akan berlaku jika guru dapat membantu murid-murid mendiskriminasi jenis rangsangan yang perlu diberi tumpuan. Contohnya, Cikgu Zulkifli akan memberikan penjelasan dengan bersungguh-sungguh bagi memberitahu pelajar objektif spesifik yang perlu dikuasai dalam  mata pelajaran Sejarah. Maka saya akan memberikan perhatian yang lebih kepada maklumat yang penting berkaitan dengan pelajaran. Hal ini menunjukkan bahawa saya dapat membuat diskriminasi antara maklumat penting dan yang kurang relevan.

2.2.2 Teori Pelaziman Operan Skinner 
Burhrhus Frederic Skinner bersependapat dengan Pavlov, tetapi menyatakan bahawa perlakuan harus diperhatikan dalam jangka masa yang panjang dan membentuk perlakuan yang kompleks daripada perlakuan yang mudah. Teori B. F. Skinner merupakan teori rangkaian yang berasaskan rangsangan dan gerak balas. Skinner akan menjelaskan bahawa peneguhan positif dan peneguhan negatif.

Peneguhan positif memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Antara contoh peneguhan positif yang diberikan adalah kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau menjawab soalan, memberikan  senyuman, menepuk bahu pelajar, memberikan hadiah, dan sebagainya. Contoh yang dapat dilihat berdasarkan cerita yang dianalisis ialah Cikgu Zulkifli memberikan pujian dan berkata ‘bagus’ kepada pelajar yang berjaya menjawab soalan yang dikemukan oleh beliau. Selain itu, Cikgu Zulkifli juga akan memberikan hadiah kepada pelajar yang mendapat markah yang tertinggi dalam peperiksaan. Secara tidak langsung, apabila saya menerima pujian dan hadiah daripada Cikgu Zulkifli telah mendorong lagi usaha untuk terus mencapai kejayaan.

Peneguhan negatif ialah rangsangan serta merta yang tidak selesa atau yang menyakitkan yakni diberikan selepas sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Berdasarkan cerita yang dianalisis, tindakan Cikgu Zulkifli yang akan mendenda pelajar dengan meminta pelajar membuat pembetulan dengan cara menyalin semula soalan yang salah sebanyak lima kali bagi setiap kesalahan telah menyebabkan saya berusaha untuk menjawab dengan betul agar tidak dikenakan denda tersebut. Tindakan saya (menjawab soalan dengan berhati-hati) dapat mengelak daripada rangsangan yang tidak diingini membuat pembetulan yang banyak).

2.2.3  Teori Pelaziman Operan Thorndike
      E. L Thorndike merupakan ahli behaviouris pertama yang mengemukakan konsep pelaziman operan. Thorndike telah menyarankan bahawa pembelajaran manusia dikawal oleh hukum tertentu yang disebut sebagai Hukum Pembelajaran. Hukum-hukum dibahagikan kepada tiga, iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan, dan Hukum Kesan.

      Berdasarkan cerita yang dianalisis, terdapat Hukum Latihan. Sebagai contoh , Cikgu Zulkifli yang memberikan latihan yang berulang-ulang tentang tajuk yang telah dipelajari dalam bentuk kuiz secara berkumpulan. Hukum Latihan ini menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan diteguhkan melalui aplikasi. Jadi, perbincangan kumpulan merupakan aplikasi latihan untuk pemahaman dan penguasaan terhadap tajuk yang dipelajari.

2.3.4    Pendekatan Humanis 
Pendekatan Humanis telah diasaskan oleh Abraham Maslow dan Carl Rogers. Mereka berpendapat pembelajaran manusia bergantung kepada emosi dan perasaannya. Abraham Maslow telah menghuraikan bahawa manusia perlu memenuhi keperluan peringkat asas atau fisiologi terlebih dahulu sebelum timbul keperluan lain. Contoh keperluan fisiologi ialah air, udara, makanan, dan lain-lain. Keperluan seterusnya ialah keperluan keselamatan  (iaitu murid dan guru berasa dilindungi dan tidak terancam), keperluan kasih sayang daripada ibu bapa dan rakan sebaya), keperluan diberi penghormatan apabila berjaya dan akhirnya ke arah menyempurnakan  kendiri apabila seseorang itu ingin memenuhi potensi diri hingga ke tahap maksimum. Rajah di bawah menunjukkan Hierarki Keperluan Manusia Maslow.

Berdasarkan cerita, sikap mesra dan peramah Cikgu Zulkifli membuat saya berasa disayangi dan dihargai. Hal ini membuatkan perasaan dan emosi saya sentiasa bersedia dan berada dalam keadaan yang positif apabila belajar di dalam kelas. Apabila Cikgu Zulkifli memberikan pengiktiran hasil folio saya dengan mempamerkannya di perpustakaan, saya berasa dihargai dan menimbulkan keinginan untuk terus berjaya.
                                                                                                                     
3.0  Pengalaman Pembelajaran Kedua (Pembelajaran Informal) 

      Semasa di Tingkatan 4, saya amat meminati sukan bola sepak. Saya bertekad untuk mewakili pasukan sekolah saya  dalam  pertandingan. Apabila ada perlawanan bola sepak yang disiarkan di televisyen, saya akan sentiasa menontonnya. Selain itu, saya juga sering menyaksikan perlawanan bola sepak yang dilangsungkan di stadium bersama dengan abang saya. Oleh kerana terlalu minat, saya juga sering membeli majalah yang berkaitan dengan bola sepak.

      Ketika menonton perlawanan bola sepak, saya akan meneliti dan berfikir tentang cara untuk bermain bola sepak dengan baik. Saya dapat melihat cara menendang bola, menahan bola, menggelecek bola, dan sebagainya. Begitu juga ketika membaca majalah bola sepak, saya akan merujuk panduan untuk lebih memahami secara teori bagaimana sesuatu kemahiran permainan bola sepak itu boleh dikuasai.

     Semasa sesi pemilihan pemain untuk mewakili pasukan sekolah diadakan, saya telah hadir dan menjalani sesi pemilihan tersebut. Segala kemahiran tentang permainan bola sepak telah diuji dan dinilai oleh jurulatih pasukan sekolah. Saya telah cuba melakukan kemahiran tersebut seperti yang pernah dilihat di televisyen. Saya melakukan semua kemahiran tersebut dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, saya terpilih untuk mewakili pasukan bola sepak sekolah bagi kategori bawah 18 tahun. Saya berasa sungguh gembira dan berharap dapat bermain dengan baik seperti pemain-pemain yang hanya dilihat oleh saya di televisyen dan di stadium sebelum ini.

3.1 Analisis Cerita dari Perspektif Psikologi 

      Berdasarkan situasi yang dialami, pengalaman pembelajaran boleh dijelaskan dalam aspek Teori Pembelajaran Sosial dan Aspek Kecerdasan, iaitu Teori Pelbagai Kecerdasan Gardner.

3.1.1 Teori Pembelajaran Sosial 
            Teori Pembelajaran Sosial merupakan Teori Kognitif Sosial (Bandura, 1986). Menurut teori ini, kelakuan manusia saling bertindak antara kognitif, kelakuan dan ejen penentu persekitaran. Secara khusus, Teori Pembelajaran Sosial ini mengatakan bahawa kebanyakan kelakuan manusia dipelajari melalui pemerhatian terhadap permodelan. Melalui proses memerhati orang lain, seseorang individu membentuk satu idea bagaimana kelakuan dilaksanakan dan apakah kesannya.


Sebagai contoh, saya berfikir bagaimana cara untuk bermain permainan bola sepak melalui pemerhatian semasa menonton televisyen atau di dalam stadium. Cara saya berfikir itu adalah kognitif manakala televisyen ialah ejen persekitan yang membantu saya mengetahui cara untuk bermain bola sepak.

 3.1.2 Teori Pelbagai Kecerdasan Gardner 
      Gardner (1983) percaya bahawa kecerdasan melibatkan kebolehan seseorang untuk menyelesaikan masalah atau  mencipta sesuatu hasil kerja dalam konteks budayanya. Gardner juga telah mengenal pasti sembilan jenis kecerdasan yang diperlukan oleh seseorang untuk menyelesaikan masalah atau menghasilkan produk. Kecerdasan-kecerdasan tersebut ialah kecerdasan logik–matematik, bahasa–linguistik, muzikal, visual ruang–spatial, kinestetik–badan, interpersonal, intrapersonal, naturalis, dan eksistensialis.

      Berdasarkan cerita, saya mempunyai kecerdasan kenestetik–badan. Kecerdasan ini melibatkan  penggunaan tubuh untuk menyelesaikan masalah, mencipta sesuatu serta menyatakan idea dan perasaan. Pelajar yang berkecerdasan kinestetik–badan mempunyai beberapa ciri seperti menyukai aktiviti sukan, menyukai aktiviti-aktiviti yang mencabar, dan bijak meniru tingkah laku orang lain. Sebagai contoh, saya meminati sukan bola sepak, maka saya berusaha untuk mempelajari permainan bola sepak dengan meniru aksi serta kemahiran yang dilihat di televisyen, stadium, dan majalah. Hal ini menunjukkan pergerakan kaki saya ialah penggunaan  tubuh manakala cara saya mengawal bola adalah penyelesaian masalah.

4.0        Pengalaman Pembelajaran Ketiga (Pembelajaran Nonformal) 

      Semasa saya mula berkhidmat sebagai seorang guru, saya telah ditugaskan untuk melatih pasukan sekolah dalam permainan bola sepak. Memang saya akui saya amat berminat untuk melatih pasukan sekolah disebabkan saya sendiri pernah mewakili pasukan bola sepak sekolah ketika di sekolah menengah dahulu. Namun untuk melatih pemain mengikut cara yang betul tentang permainan bola sepak amatlah susah. Saya tidak mengetahui teknik melatih dengan betul bagi permainan bola sepak. Pelbagai masalah saya hadapi semasa mula-mula melatih pemain-pemain. Situasi ini membuatkan saya berasa risau apabila setiap kali tiba masa latihan diadakan.

      Sebulan kemudian, saya telah terpilih untuk mengikuti Kursus Awalan Kejurulatihan Bola Sepak yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kursus tersebut telah berlangsung selama lima hari. Saya telah didedahkan teknik dan cara yang betul dalam melatih pemain dalam sukan bola sepak.                    
               
      Saya dapat berkongsi pengalaman dengan peserta-peserta lain yang mengikuti kursus tersebut. Fasilitator kursus tersebut merupakan bekas pemain Malaysia, iaitu M. Karathu. Beliau telah menerangkan cara yang terbaik untuk melatih kemahiran-kemahiran asas permainan bola sepak. Semua kemahiran asas mesti melalui kaedah ansur maju yang betul. Semua peserta juga didedahkan cara untuk memotivasikan pemain  dengan baik. Peserta-peserta juga akan membuat latihan amali untuk pemahaman yang lebih jelas tentang cara untuk melatih pemain. Hal ini membuatkan semua peserta perlu berbincang dan berkongsi idea semasa latihan amali dijalankan. Selain itu, fasilitator juga banyak memberikan motivasi kepada peserta-peserta untuk menjadi jurulatih yang baik.

      Saya telah menggunakan teknik yang dipelajari semasa berkursus untuk melatih murid-murid saya. Saya juga selalu memberikan motivasi dan mengamalkan sikap terbuka serta memahami pelajar mengikut kebolehan masing-masing. Pemain-pemain amat seronok apabila datang mengikuti latihan. Kebimbangan tentang cara melatih  murid dalam permainan bola sepak telah dapat diatasi hasil daripada menghadiri kursus tersebut. Beberapa bulan kemudian, hasil daripada teknik latihan yang saya ajarkan itu dapat difahami dan dikuasai oleh pemain-pemain. Dalam pertandingan yang telah disertai, pasukan sekolah saya telah berjaya mencapai kejayaan. Semua ini disebabkan oleh pendedahan dan teknik yang diterima semasa mengikuti kursus kejurulatihan bola sepak yang diikuti tersebut.

4.1 Analisis Cerita dari Perspektif Psikologi 

      Berdasarkan situasi yang dialami oleh saya, pengalaman pembelajaran boleh dijelaskan dalam aspek  Teori Pembelajaran Konstruktivisme dan aspek personaliti.

4.1.1 Teori Pembelajaran Konstruktivis 
Teori Pembelajaran Konstruktivis memberi fokus kepada aspek pembinaan ilmu dan menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pembelajaran terbentuk hasil daripada pembinaan pengetahuan berdasarkan pengalaman. Pembelajaran juga terbina hasil pencantuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada. Menurut Borich dan Tombari (1997), pendekatan pembelajaran konstruktivisme ialah pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan atau hubungan (dalam minda) antara idea dan fakta yang sedang dipelajari.

      Sebagai contoh, saya dan peserta-peserta kursus yang lain berkongasi idea melalui aktiviti amali permainan bola sepak. Aktiviti amali dalam kumpulan ini  akan memberikan peluang kepada peserta untuk memberikan pendapat seterusnya dapat membina kefahaman tentang apa jua yang dipelajari dalam permainan bola sepak. Perkongsian pengalaman juga membantu menguatkan kefahaman (dalam minda) saya tentang kursus yang telah dihadiri itu.

Selain itu, cara saya melatih murid dengan pengetahuan kemahiran bola sepak yang sedia ada pada saya dan maklumat yang peroleh dari kursus telah mewujudkan pembelajaran yang baik kepada pemain-pemain. Hal ini menunjukkan pencatuman antara pengetahuan sedia ada dan maklumat baharu dalam pembelajaran.

4.1.2 Personaliti 
Menurut Abdul Majid (1997), personaliti ialah perkaitan antara pemikiran, emosi, dan perasaan dengan perlakuan manusia. Personaliti menggambarkan sifat keperibadian seseorang. Personaliti dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti seseorang boleh dikaji melalui tingkah laku, percakapan, dan cara menyelesaikan masalah. Sementara itu, Murugian (1996) pula telah menghuraikan personaliti sebagai perwatakan yang lahir daripada diri seseorang tanpa dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Terdapat tiga jenis personaliti mengikut Carl Jung. Personaliti tersebut ialah ekstrovert, introvert, dan ambivert. Berdasarkan cerita yang dianalisis, personaliti yang  saya miliki ialah personaliti ekstrovert.

Personaliti Ekstrovert 
Seseorang yang mempunyai personaliti ekstrovert mempunyai sifat suka bergaul, cepat mengeluarkan pendapat, mudah mesra, dan lebih bersikap terbuka. Sikap ini mendorong keyakinan  individu tersebut dan orang lain dalam menghadapi sesuatu. Sebagai contoh, sikap saya yang  bersifat terbuka semasa latihan menyebabkan saya mudah untuk melatih pemain dalam kemahiran bola sepak. Hasilnya pemain dapat memahami dan menguasai permainan bola sepak. Oleh itu, faktor personaliti eksrovert yang dimiliki oleh saya mempengaruhi kejayaan pemain pasukan bola sepak sekolah saya.

5.0        Penutup 

Daripada pengalaman pembelajaran formal, informal dan nonformal yang diceritakan, dapatlah dirumuskan bahawa pembelajaran tersebut amat memberikan kesan kepada kehidupan seseorang individu. Kaitan cerita atau pengalaman pembelajaran dengan aspek psikologi, iaitu seperti teori-toeri, aspek kecerdasan dan aspek personaliti jelas menunjukkan bahawa ia amat berguna kepada semua guru. Semua guru perlu mengetahui teori-teori agar dapat memahami tingkah laku seseorang pelajar. Setiap individu dilahirkan mempunyai tingkah laku yang berbeza-beza. Oleh itu, guru adalah perlu menguasai aspek yang berkaitan dengan psikologi.

Refleksi 

Semasa mula-mula mendapat tajuk tugasan ini, kami dapati soalan ini amat mencabar. Kami perlu mengingati pengalaman pembelajaran yang pernah dilalui. Kemudian perlu mengaitkannya dengan aspek psikologi. Kami berasa tiada keyakinan untuk membuat tugasan kerana kurang memahami aspek yang berkaitan  psikologi iaitu teori pembelajaran, perbezaan individu, dan personaliti. Walaupun begitu, kami tetap berusaha untuk memghasilkan hasil kerja yang baik.

Semasa kami mula membuat cerita tentang pengalaman pembelajaran, dapatlah kami mengimbas semula peristiwa-peristiwa yang telah dilalui. Untuk mengaitkan pengalaman pembelajaran tersebut dengan teori, kami keliru untuk mentafsirkan apakah teori yang sesuai  dengan pengalaman kami itu. Apabila memahami teori mana yang sesuai, barulah kami dapat membuat tugasan bahagian dua, iaitu kaitan cerita dengan aspek psikologi.

Setelah menyiapkan tugasan, barulah kami faham tentang teori pembelajaran, perbezaan individu dan personaliti. Sememangnya, Dr. Tan ialah individu yang banyak membantu  kami tentang Teori-teori Pembelajaran. Kami amat menghargai beliau. Kami beranggapan bahawa Dr. Tan mengamalkan Teori-teori Pembelajaran dalam dirinya. Beliau menerapkan Teori Humanis dengan pandai mengambil hati pelajar semasa belajar di dalam kelas. Beliau juga mengamalkan Teori Behaviouris, iaitu banyak memberikan peneguhan. Selain itu, Dr. Tan juga banyak menerapkan Teori Kognitif, iaitu melalui teknik soal jawab. Akhir sekali, melalui tugasan ini juga dapat membantu kami dalam menjawab solan peperiksaan dan mengamalkannya dalam pengajaran di sekolah nanti.

Rujukan 

Mok Soon Sang (2003). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI: Psikologi Pendidikan & Pedagogi. Subang Jaya: Kumpulan Budiman.

Mok Soon Sang (2003). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI: Profesionalisme Keguruan Sekolah Rendah. Subang Jaya: Kumpulan Budiman.

Prof. Madya Dr. Wan Zah Wan Ali,  Prof. Madya Dr. Ramlah Hamzah & Dr. Rosini Abu (2009). HBEF2103 Psikologi Pendidikan. Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pusat Perkembangan Kurikulum (1997). Pembelajaran Masteri. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ramlan Hamzah & Lily Mastura Harun, PhD (2006). Panduan Ulangkaji Psikologi Pendidikan untuk Prasarjana Muda dan Kpli, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman .

Ragbir Kaur (2005). Panduan Ulangkaji IlmuPendidikan untuk KPLI Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.


Pelbagai Teori Perkembangan dan Pembelajaran dalam ilmu psikologi  telah digunakan untuk analisis pengalaman di atas. Antaranya adalah:

(i)  Teori  Behaviouris―yang dipelopori oleh Pavlov, Watson, Skinner, dan Thorndike. Ahli psikologi aliran behaviouris berpendapat bahawa hampir semua tingkah laku manusia ialah hasil daripada perkara yang dipelajari. Justeru, tingkah laku manusia boleh diramal, dikawal, dan diubah berpandukan penggunaan peneguhan mahupun pelaziman.

(ii)    Teori Permodelan Sosial―yang dimajukan oleh Bandura menerangkan impak amalan ibu bapa dan guru terhadap kewujudan tingkah laku dalam diri anak dan anak murid. Lihat cerita “Bapa borek anak rintik dalam karier mengajar tuisyen” oleh Lim dan “Perubahan tingkah laku melepak dalam diri seorang remaja” hasil asuhan yang dialami oleh Puteri yang turut memperlihatkan impaknya ke atas anak yang suka melepak .

(iii) Teori Keperluan Humanis oleh Maslow―yang menerangkan keperluan manusia secara psikologi terhadap kasih sayang dan penerimaan sosial, termasuk diberi hormat dan penghargaan. Analisis terhadap pengalaman diri oleh Rosni mengenai pengaruh “Cikgu Sejarahnya yang humanis dalam melazimkan emosi dan minatnya terhadap pembelajaran Sejarah” yang turut mewujudkan motivasi  intrinsik dalam diri pelajar ke arah penyempurnaan kendiri.

(iv)   Teori Konstrutivis―yang menerangkan pembelajaran berkesan hanya akan wujud sekiranya pelajar diberi peluang memainkan peranan sebagai Active learner dan guru sebagai pemudah cara. Proses pembelajaran adalah bersifat inkuiri dan berasaskan pengalaman langsung dengan menghubungkaitkan dengan pengetahuan sedia ada.  Ciri utama pendekatan konstruktivis ialah bersifat  Head-on dan Hands-on. Justeru kursus  dan bengkel yang dikendalikan secara Hands-on dan Head-on oleh pakar dalam kejurulatihan telah menyumbang kepada  zahirnya keyakinan dan keterampilan dalam diri Cikgu Kamarudin, termasuk kompetensi beliau dalam melaksanaan tugasnya sebagai  jurulatih yang lebih profesional.

Selain itu, pelbagai konsep dan Teori Psikologi telah digunakan untuk menganalisis pengalaman di atas. Antaranya adalah Teori Psikoanalisis saranan Sigmund Freud, Teori Kecerdasan Pelbagai yang dikemukan oleh Howard Gardner, termasuk  Jenis Personaliti Ekstrovert dan Introvert  oleh Carl Jung.