Wednesday, 30 July 2014

Posted by haslina On 09:46
Penerbitan buku akademik adalah satu usaha dan sumbangan yang mulia. Usaha berkenaan menyumbang kepada sintesis ilmu yang sedia ada, dan penjanaan ilmu yang baharu. Jadi sebagai seseorang profesional yang bertangggungjawab, seorang penulis perlu memberi perakuan kepada segala bahan dan sumber yang dirujuk dalam penulisan buku. Selain itu, sebagai pematuhan kepada kod etika kesarjanaan, perbuatan plagiarisme atau amalan meniru seperti ‘cut and paste’ perlu dielakkan.  Sehubungan ini, secara dasar penulis perlu memastikan penguasaan ilmu yang mantap dalam bidang ilmu yang ditulis. Penulisan buku akademik menuntut perbincangan fakta, dan hujah berpandukan kesahan data yang terdiri daripada hasil kajian empirikal dan rujukan yang dibuat terhadap teori dan hukum, termasuk kajian lanjutan terhadap sesuatu gejala.

Jelaslah di sini penulisan akademik yang bermutu perlu melampaui pembentangan konsep, hukum dan teori secara deskriptif. Rumusan dan interpretasi terhadap sesuatu aspek ilmu perlu berasas dan bukan sekadar berpandukan pandangan peribadi atau pandangan satu dua orang  tokoh. Perbuatan ini menunjukkan amalan penulisan yang tidak diingini, khususnya amalan plagiarisme dan amalan sikap atau pendirian yang bias atau prejudis dalam memberi  ‘judgement’ terhadap sesuatu aliran ilmu. Perbuatan ini dikenali sebagai ideological bias.  Amalan ini dikatakan tidak diingini sebab bukan sahaja salah bimbing pembaca maah meninggalkan kesan negatif kepada pembaca dari segi amalan pemahaman dan persepsi yang stereotaip. Sehubungan ini, sebarang kerja menyalin seperti ‘cut and paste’ atau membuat interpretasi tanpa mendalami ilmu dalam bidang penulisan dianggap amalan yang kurang beretika.